Penyalahgunaan Dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu musuh utama di negara
kita. Penyalahgunaan dadah adalah penggunaan dadah yang bertentangan dengan
kepentingan rawatannya. Manakala, dadah ialah satu istilah khas kepada sejenis
bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi
jasmani, rohani, dan tingkah laku pengguna apabila digunakan. Penggunaan dadah
akan menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan mabuk, khayal, ketagih
serta gangguan tingkah laku. Akan tetapi, penagih dadah menganggap dadah
sebagai satu alat yang mampu membawa perasaan gembira kepada mereka.
Dengan pemikiran ini, penagih dadah akan terus bergantung hidup kepada dadah
dan menyebabkan ketagihan. Oleh itu, penagih dadah akan berada dalam keadaan
yang susah tanpa dadah.
Bagaimanakah kita boleh mengetahui seseorang itu terlibat dalam
dadah? Dari aspek fizikal, seseorang yang terlibat dalam penggunaan dadah akan
sentiasa berpeluh, pening kepala, menggigil, penurunan berat badan, mata merah
dan ciri-ciri lain. Dari aspek psikologi pula, penagih dadah akan sentiasa
berada dalam keadaan resah dan gelisah. Emosi dan perasaan mereka akan terganggu
dan menyebabkan sikap mereka berubah secara tiba-tiba. Sebagai contohnya,
mereka tidak dapat tidur dengan lena, kelihatan letih, kurang selera, bercakap
banyak, menghindari kawan yang tidak terlibat dalam penggunaan dadah dan
mengabaikan penampilan diri. Dari aspek perlakuan pula, penagih dadah akan
sentiasa ponteng kerja atau sekolah yang seterusnya menyebabkan prestasi kerja
ataupun prestasi akademik mereka merosot.
Antara faktor-faktor penyalahgunaan dadah adalah termasuk pengaruh rakan
sebaya. Sesungguhnya, rakan adalah individu yang paling dekat dan paling mudah
untuk mempengaruhi. Bagi remaja yang ingin diterima oleh sesebuah kumpulan,
mereka terpaksa mengikuti ajakan rakan-rakan sebaya. Remaja tersebut yang
berbuat demikian adalah untuk melindungi diri sendiri supaya tidak dibuli serta
diterima oleh kumpulan. Bagi remaja yang minat untuk cuba mengenali pelbagai
aktiviti ataupun budaya baru dan tidak tahu membezakan antara gejala yang
positif atau negatif, jadi mereka akan mudah terikut-ikut dengan kata dan
arahan rakan sebaya tanpa bertimbang. Sikap remaja yang ingin mencuba
meyebabkan mereka mudah dipengaruhi sekiranya rakan sebaya mengatakan
penggunaan dadah boleh mendatangkan keseronokan.
Faktor yang seterusnya ialah kekurangan kasih sayang daripada
ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menjaga kehidupan dan
kebajikan anak-anak. Akan tetapi, masyarakat kini yang bersikap materialistik
seperti ibu bapa sanggup bekerja sepanjang hari sehingga mengabaikan perasaan
anak-anak untuk kehidupan yang mewah. Kekurangan kasih sayang dan perhatian
daripada ibu bapa akan menyebabkan anak-anak terjebak dengan aktiviti yang
negatif. Sebagai contoh, remaja mudah mempercayai individu lain yang
sentiasa bersama mereka walaupun individu tersebut mempunyai niat jahat.
Perasaan dan emosi mereka akan menjadi tidak stabil apabila menghadapi
sebarang masalah atau kesusahan. Ini adalah kerana anak-anak tiada dorongan
daripada ibu bapa, remaja akan kehilangan yakin diri dan mudah melakukan
kesalahan seperti ponteng sekolah dan menglibatkan diri dalam aktiviti yang
negatif supaya menarik perhatian daripada ibu bapa.
Penyalahgunaan dadah yang berlebihan akan mendatangkan beberapa
kesan negatif. Antara kesannya termasuk masalah kesihatan. Ini disebabkan oleh
dadah merupakan sejenis bahan yang beracun. Penggunaan dadah dalam jangka masa
panjang atau berlebihan dos boleh menjejaskan fungsi organ dalam badan serta
membawa kepada maut. Melalui jarum suntikan, hasil-hasil racun dadah akan disuntik
ke dalam sel-sel badan dan bersebar melalui darah. Hasil-hasil racun tersebut
akan berkumpul dan merosakkan organ dalam badan manusia. Sekiranya hati
dirosakkan, maka fungsi hati akan terjejas dan akhirnya akan menyebabkan
kesihatan badan remaja berada dalam keadaan yang amat berbahaya. Selain itu,
penyalahgunaan dadah juga akan merosakkan sistem paru-paru, tulang dan sistem
imun. Kemautan akan berlaku apabila berlakunya kekurangan bekalan darah
ke otak akan menyebabkan koma sekiranya penggunaan dadah yang melampau banyak.
Kesan yang seterusnya adalah kesan sosial.
Kebanyakkan penagih yang terlibat dengan dadah tidak berminat dan tidak
mempedulikan tanggungjawab terhadap kerjaya, keluarga dan masyarakat. Ini akan
menyebabkan prestasi atau akademik merosot dan juga menyebabkan kehancuran
dalam keluarga. Sekiranya penagih dadah tidak mendapat bekalan dadah, mereka
akan mengalami ketagihan dadah, hidung berair, perut berasa sakit dan pedih.
Jika perasaan tersebut tidak dapat diatasi, kemungkinan besar penagih akan
bertindak ganas dan hilang kawalan emosi. Dengan ini, penagih akan mencuri,
merompak ataupun memukul ibu bapanya semata-mata untuk mendapatkan wang untuk
membeli dadah. Jadi, penyalahgunaan dadah boleh meningkatkan kes-kes jenayah.
Beberapa langkah hendaklah diadakan untuk mengatasi masalah
tersebut. Langkah pertama, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam
menjaga serta mendidik anak-anak. Kesibukan ibu bapa dalam perkerjaan
mengakibatkan anak-anak itu terbiar dan bebas dari kawalan ibu bapa. Untuk
mengelakan anak-anak diri dari terlibat dalam penyalahgunaan dadah, ibu bapa
harus memperhatikan setiap pergerakan anak-anak mereka. dan hendaklah
sentiasa mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka serta
sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh anak mereka.
Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka yang digaul adalah
mempunyai kedudukan moral yang baik atau tidak. Melalui kasih sayang yang
secukupnya, anak-anak tidak akan terasa tersisih sehingga menyebabkan mereka
terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan
didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak kerana didikan agama yang cukup
dapat melahirkan anak-anak yang dapat membezakan antara baik dan buruk.
Tambahan lagi, ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak-anak.
Di samping itu, pihak media massa juga dapat menyumbang dalam membanteras
masalah penyalahgunaan dadah ini. Sebagai contoh, pihak media massa boleh
menyiarkan berita atau cerita yang boleh membawa keinsafan kepada remaja supaya
mereka tidak melibatkan diri dalam penggunaaan dadah. Hal ini kerana yang baik
kita dijadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Segala
rancangan televisyen, dan bahan cetak yang mengandungi adegan-adegan ganas yang
boleh mempengaruhi minda remaja perlu ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan
atau diterbitkan. Selain itu, pihak media massa boleh mengajurkan
kempen-kempen kesedaran kepada orang ramai. Misalnya, kempen-kempen
kesedaran seperti 'Kempen Anti-Dadah', 'Belia Benci Dadah' boleh
dianjurkan di peringkat sekolah ataupun di kalangan masyarakat. Di
samping itu, ceramah-ceramah tentang keburukan dadah juga boleh
diadakan.
PERANAN IBU BAPA DAN MASYARAKAT DALAM MEMBENTERAS GEJALA DADAH
Dalam kita berusaha meningkatkan ketaqwaan dan kesyukuran kepada Allah s.w.t. sedarkah kita terhadap bahaya ancaman penagihan dadah yang telah banyak merosak dan memusnahkan hidup manusia, meruntuh kebahagian rumahtangga, mengancam keselamatan diri, agama, bangsa dan negara. Bahkan banyak jiwa yang terkorban, semuanya berpunca dari angkara dadah.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kementeraian Keselamatan Dalam Negeri, menunjukkan masyarakat melayu atau umat Islam yang paling ramai berbanding kaum lain. Kita juga dimaklumkan mengenai statistic penagih dadah yang dikesan seramai 31 orang penagih baru dan 42 orang penagih berulang setiap hari.
Dalam hal ini, para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa menagih dadah hukumnya adalah haram di sisi Islam.
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“ Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram ”.
Berdasarkan ayat al-quran dan hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa dadah adalah haram hukumnya disebabkan orang yang menyalahgunakan dadah akan menyebabkan dirinya khayal, hilang kewarasan akal pertimbangan dan yang lebih dahsyat lagi akan menyebabkan penagih menjadi agresif dengan sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan bekalan termasuk menculik, merompak, membunuh dan sebagainya.
Dewasa ini terdapat pelbagai jenis dadah seperti pil ecstacy, pil kuda, syabu, daun ketum, ubat batuk dan sebagainya yang terdapat di pasaran gelap. Namun ia tidak sesekali terkecuali dari pengertian khamar dan hukumnya tetap sama.
Sabda Rasulullah s.a.w. Maksudnya :
“Pasti akan ada manusia di kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain “.
Pernahkah kita terfikir, apakah akibat yang akan menimpa seseorang penagih dadah atau peminum arak?. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda, Maksudnya :
“ Penagih khamar ( penagih dadah ) sama seperti penyembah berhala ”.
Menurut al-Syaukani dalam kitabnya Nailul Autar, hadis tersebut merupakan ancaman keras kerana menyembah berhala adalah merupakan satu kekufuran yang sangat berat dosanya. Jadi menyamakan dosa penagih khamar atau dadah dengan dosa penyembah berhala menunjukkan betapa besarnya dosa dan betapa kerasnya larangan tersebut bagi mereka yang tahu tentang hukumnya.
Demikianlah nasib malang yang menimpa sebahagian anak muda dan remaja kita apabila mereka terjebak dengan gejala dadah. Apakah kita sanggup membiarkan perkara ini berterusan bermaharajalela dalam masyarakat kita?.
Marilah kita sama-sama menginsafi diri sejauh mana kita telah menjaga mereka yang di bawah jagaan kita supaya mereka terselamat dari pengaruh penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar lain yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam api neraka dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.
Justeru, kita sebagai ibu bapa hendaklah sedar bahawa kita bukan sekadar dipertanggungjawab untuk mendidik anak-anak sewaktu di dunia, malah tanggungjawab ini pasti ditanya di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikan amanah yang sepatutnya atau telah menkhianatinya.
Begitu juga, masyarakat hendaklah berperanan membantu membendung dan membenteras ancaman dadah dalam masyarakat kita dengan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut dibahu pihak berkuasa atau polis semata-mata. Kerana kesedaran masyarakat tentang akibat buruknya kesan penagihan dadah dapat mengawal serta menghalang dari merebaknya gejala dadah. Dan yang terpenting masyarakat juga hendaklah memainkan peranan membantu proses pemulihan dan berupaya membantu bekas-bekas penagih menjalani kehidupan baru bebas dan sihat tanpa dadah.
Di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal anak-anak kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang lain di antaranya :
Pertama : Pastikan anak-anak mendirikan solat dengan sempurna
Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mendirikan solat cukup lima waktu dengan sempurna, kerana solat yang sempurna boleh menjamin seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.
Kedua : Biasakan Anak-anak membaca al-QuranIbu bapa hendaklah membiasakan anak-anak membaca al-quran. Ditambah dengan mengerjakan solat sunat, zikrullah dan lain-lain lagi kerana faedahnya amat banyak.Sebaliknya orang-orang yang lalai akan sentiasa menjadi teman syaitan dan hidupnya sentiasa menuju ke arah perkara-perkara mungkar.Ketiga : Amalkan Perkara Amar Ma’aruf Nahi Mungkar Dalam KehidupanKehidupan manusia akan menjadi manis dan indah sekiranya amar ma’aruf nahi mungkar diamalkan dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga batasan dalam pergaulan, menjaga aurat serta menjaga akhlak dengan merasa malu dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.Keempat : Mewujudkan Suasana Harmoni Dalam RumahtanggaRumahtangga yang harmoni dapat melahirkan suasana keluarga yang bahagia serta anak-anak tidak merasa bosan dan jemu berada di rumah. Yang paling penting elakkan anak-anak hidup berfoya-foya tanpa tujuan dan faedah kerana ia boleh membuka ruang kepada mereka untuk berjinak-jinak dengan dadah.
Kelima : Tanamkan Didikan Kepada Anak-Anak Supaya Benci Dadah serta Sentiasa Berhubung Dengan Pihak yang Bertanggungjawab.Penglibatan ibu bapa mendidik serta menyedarkan anak-anak tentang bahaya dan kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah hendaklah dipertingkatkan, disamping menjauhi tabiat menghisap rokok dan sebagainya. Keadaan ini dapat membuka pemikiran anak-anak terhadap bahaya dadah dan rokok. Dan yang paling penting jalinan hubungan kerjasama dengan pihak yang bertanggung-jawab seperti Agensi Anti Dadah atau pihak Polis bagi sebarang bantuan yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.
Marilah kita sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak2 kita, pergaulan mereka mesti diambil tahu dan diawasi, terutama dengan siapa mereka bergaul? Kemana mereka pergi? Dan apa aktiviti mereka? Keadaan ini bukanlah hendak menyekat atau mengongkong kebebasan anak-anak tetapi mengambil berat dan perihatin terhadap aktiviti mereka sesuai dengan kehendak agama. Kebebasan yang kita berikan kepada anak-anak mesti ada batasannya iaitu dengan batasan agama, akhlak dan sopan santun.
No comments:
Post a Comment