Thursday, 27 September 2012

..Semalam Yang Hangat..

Dewasa ini kita sering disogokkan dengan masalah-masalah berkaitan kekeluargaan. Di mana-mana sahaja media cetak mahupun media elektronik, kisah ini takkan terlepas dari dikongsikan. Remaja lari dari rumah, pembuangan bayi, seks bebas, keruntuhan akhlak dan bermacam-macam lagi isu hangat sering ditimbulkan dan menjadi perhatian kulawangsa kita. Bak kata pepatah, bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Makin hari makin banyak pula masalah ini bertebaran. Persoalannya, ke manakah anak bangsa kita yang dahulunya teguh dengan adat resam dan pegangan agamanya? Tepuk dada tanyalah selera.

Ibu bapa adalah satu nama yang sangat penting dalam pembentukan institusi kekeluargaan yang cemerlang dalam segenap aspek. Mereka lah yang bersama-sama dalam apa jua keadaan dan rintangan. Namun hari ini, sikap anak-anak dalam menentukan haluan hidup sendiri amatlah dirisaukan. Bukan tiada pesanan mahupun dorongan ke arah kebaikan, tapi mereka seringkali alpa dengan arus kemodenan yang mereka kecapi tika dan saat ini. Wajarkan ibu bapa dipersalahkan? Mungkin ada segelintir ibu bapa yang kurang memberi perhatian kepada anak-anak mereka sekaligus menjadi isu utama dalam hal kerosakan akhlak anak-anak yang memberontak. Jika dilihat secara logik akal dari aspek kemudahan dan kesenangan, tidak sepatutnya mereka memberontak membuat hal yang bukan-bukan diluar sana. Namun mengertilah, kasih sayang dan perrhatian keluarga amatlah dititikneratkan dalam pembentukkan sahsiah anak-anak. Bukan wang ringgit yang menjadi ukuran.

Selain itu, jika dilihat pada ibu bapa yang sering memberi perhatian dan kasih sayang, ada juga dalam kalangan anak-anak mereka yang terpalit dalam isu semasa remaja. Jadi apakah yang dicari oleh remaja sebenarnya? Sebenarnya remaja adalah satu peringkat di mana mereka sering untuk mencuba sesuatu yang baru. Ketika ini, ibu bapa jatuh ke tangga ke dua. Pada mereka, rakan adalah segala-galanya. Sebab itu tidak mustahil mereka adalah keluarga yang sangat bahagia namun terjebak juga dalam masalah ini. Remaja adalah satu fasa kehidupan yang diibaratkan seperti tercari-cari arah tuju hidupnya. Benar, remaja mahu mencuba segalanya ketika ini. Dengan bermodalkan minda yang belum cukup matang untuk berfikir panjang, mereka akan hanyut mengikut rakan mereka. Inilah yang selalu terjadi. Namun apakah punca sebenarnya??Disini kita haruslah kembali kepada fitrah. Didikan agama itu penting selain perhatian dan kasih sayang ibu dan bapa. Tiada didikan agama dan penghayatan agama yang sempurna, tidak mustahil remaja akan terjebak dalam masalah ini.

Tambahan pula, dalam arus globalisasi ini, bermacam-macam teknologi yang kita jumpa. Internet dan sebagainya. Ini juga menjadi salah satu punca mengapa reamaja kita sering hanyut dalam pancaroba. Jika kita lihat, sejak akhir-akhir ini pelbagai laman lucah yang terdapat dalam internet. Mungkin ada sekatan dari pihak-pihak tertentu, namun masalah ini seakan bisu dan semakin membisu. Walaupun ada sekatan, remaja masih boleh mandapatkan semua ini dengan mudah. Bukan sahaja laman lucah, DVD lucah juga semakin  berleluasa walaupun sudah banyak pencegahan dilakukan oleh pihak berkuasa. Umum mengetahui, remaja adalah satu peringkat umur di mana nafsu mereka semakin memuncak. Jadi tidak mustahillah ini menjadi satu kegemaran mahupun kemestian untuk mereka. Tidak mustahillah banyak kes-kes pembungan bayi dan seks bebas dalam kalangan remaja kita dewasa ini ada kaitan dengan banyaknya penyebaran laman lucah dan DVD lucah ke negara kita. Jadi sampai bilakah kita harus menghadap ke depan meraih kecanggihan teknologi sedangkan anak bangsa kita terus-menerus dijajah. Nak ditelan mati emak, nak diluah mati bapak. Yang pasti tanpa teknologi, kita lagi mundur.

Konklusinya, bukan salah ibu mengandung. Kita perlulah mengembleng tenaga untuk mencari formula bagi mnyelamatkan anak bangsa kita dari terus hanyut ke lembah yang hina. Wajarkah kita hanya berpeluk tubuh saling mengutuk sesama sendiri sedangkan maruah bangsa kita sendiri tercalar. Janganlah seperti menang sorak, kampung tergadai. Bangkitlah kita untuk anak bangsa kita. Kita kumpulkan semula pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.